HULU LANGAT 19 Feb. – Naib Presiden Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Semenyih merupakan bandar yang lebih maju dan hebat berbanding Gombak.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Gombak juga berasa cemburu dengan pembangunan di Semenyih.
Mohamed Azmin turut mendakwa kepesatan Semenyih adalah di bawah pentadbiran PH di Selangor sejak 2009.
“Sepuluh tahun lalu tak nampak seperti Semenyih sekarang ni. Saya pun cemburu. Gombak pun tidak sehebat Semenyih.
“Sehingga Perdana Menteri bawa dalam mesyuarat Kabinet. Dia terkejut bagaimana Semenyih di bawah PH berjaya dibangunkan sebagai sebuah bandar raya baru. Banyak perumahan dan pembangunan berlaku,” katanya sewaktu berucap dalam ceramah PH di Kampung Rinching Hilir di sini malam tadi.
Yang turut hadir pada ceramah itu ialah Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan calon PH untuk Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih, Muhammad Aiman Zainali.
Tambah Mohamed Azmin, di bawah kepemimpinan PH di Selangor, pihaknya meletakkan syarat supaya kampung-kampung Melayu tradisi terus dipelihara.
Katanya, dasar PH di Selangor adalah untuk terus memelihara golongan Melayu dan Islam.
“Ya, kita mahu pembangunan. Ya, kita mahu kemajuan. Tetapi, bangunkan juga kampung-kampung Melayu.
“Dasar PH di Selangor nak jaga kepentingan Melayu dan Islam. Kita tahu Melayu banyak dalam golongan berpendapatan rendah B40 dan yang berpendapatan sederhana M40,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE









