PULAU PINANG 22 Feb. – Tidak ada salahnya untuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerima bekas ahli UMNO ke dalam parti itu kerana perkara tersebut merupakan proses biasa dan lumrah dalam politik negara.
Setiausaha Perhubungan DAP Bahagian Batu Kawan, David Marshel berkata, perkara itu juga bukan sesuatu yang mengejutkan malah hampir semua parti politik termasuk DAP dan PKR menerima bekas ahli UMNO.
Malah, beliau turut membandingkan ketika pergolakan politik pada 1998 sewaktu pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mana ramai ahli daripada UMNO, MCA, MIC dan Gerakan menyertai PKR.
“Apa salahnya jika Bersatu menerima bekas UMNO menjadi ahli?
“Dalam sejarah politik negara, hampir semua parti politik berasaskan kaum mahupun parti multi etnik menerima bekas ahli politik parti berlainan.
“Ini lumrah dalam agenda politik Malaysia, (tapi) apabila Bersatu menerima bekas ahli UMNO, wujud pula prasangka dan mengkritik Bersatu dengan UMNO 2.0 atau pelbagai nama,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut David, apa yang menjadi isu kini adalah intergriti bekas ahli UMNO sama ada akan menerima dasar parti yang disertai atau sekadar menjadi ahli untuk kontrak atau ingin menutup kes lampau semasa pemerintahan UMNO.
Bagaimanapun, jelas beliau, perkara itu boleh ditapis oleh parti yang menerima bekas ahli UMNO tersebut.
Dalam isu Bersatu, katanya, Pengerusinya, Tun Dr. Mahathir Mohamad jelas yang mana semua bekas ahli UMNO perlu ditapis dan tidak akan memberi sebarang jawatan sehingga PRU-15.
“Saya percaya beliau sebagai seorang ahli politik yang berpengalaman luas dari segi umur dan jawatan yang dipegang selama ini akan membuat keputusan bijak dan bernas.
“Negara kita kini memerlukan pemimpin yang boleh membawa perubahan sejajar dengan inspirasi rakyat yang ingin melihat pemimpin untuk rakyat bukan lagi pemimpin yang menjauhi masalah rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, David berkata, apa yang diperlukan ketika ini adalah Pakatan Harapan (PH) lebih fokus kepada perubahan dasar untuk kebaikan ekonomi , kesihatan , kesejahteraan dan keharmonian rakyat daripada mengkritik Bersatu yang menerima bekas ahli UMNO. – UTUSAN ONLINE










