SHAH ALAM 18 Feb. – Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) berunding bagi mengelakkan ketegangan antara kedua-dua parti, ekoran hasrat Bersatu memasuki Sabah.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berkata, meskipun Bersatu sudah mengeluarkan kenyataan akan tetap memasuki Sabah, namun rundingan penting kerana itu adalah cara Pakatan Harapan (PH).
“Oleh kerana hubungan kita dengan Warisan itu baik, saya fikir apa-apa pun keputusan harus berunding dan ada kesefahaman. Ini ada cara kita dalam parti.
“Walaupun Bersatu sudah membuat kenyataan tetapi sebaiknya dirundingkan terus supaya tiada ketegangan antara parti,” katanya selepas majlis Syarahan Darul Ehsan di Universiti Selangor (Unisel) di sini hari ini.
Pengerusi Bersatu, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebelum ini menegaskan keputusan parti itu memasuki Sabah tidak terikat kepada apa yang diputuskan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.
Jelas Dr. Mahathir, keputusan itu dibuat selepas ahli UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Warisan walaupun Mohd. Shafie meminta Bersatu berpegang kepada janjinya.-UTUSAN ONLINE











