KUALA LUMPUR 27 Feb. – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui mempunyai maklumat dan bukti berhubung dakwaan Pas membayar lebih RM1 juta kepada pengasas dan pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown, kononnya bagi menyelesaikan saman antara kedua-dua pihak di luar mahkamah.
Katanya, beliau akan menjelaskan secara terperinci mengenai perkara itu apabila berada ke Semenyih malam ini, sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.
Jelasnya, punca mengapa beliau membangkitkan perkara itu adalah untuk melontarkan persoalan kepada Pas ekoran wujud dakwaan Pas membuat bayaran kepada Rewcastle-Brown.
“Semalam saya dapat maklumat tambahan, sebab itu tanya (bangkitkan). Saya tidak fikir Pas boleh menafikan.
“Saya ada maklumat yang cukup untuk membuktikan bahawa Pas ada membayar pada Rewcastle-Brown. Saya akan jelaskan secara terperinci malam nanti di Semenyih,” katanya kepada pemberita selepas majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU) Ke-33 di Dewan Utusan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE











