Ambil dadah untuk hadapi peperiksaan - Utusan Malaysia

Ambil dadah untuk hadapi peperiksaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 27 Feb. – Gara-gara mahukan ‘tenaga’ tambahan untuk mengulangkaji pelajaran pada saat-akhir bagi menghadapi peperiksaan di universiti, seorang lelaki terjebak dengan penyalahgunaan dadah jenis syabu dan menjadi penagih selama bertahun-tahun lamanya.

Orang Kena Pengawasan (OKP), Reds (bukan nama sebenar), 40, berkata, dia mula terjebak pada umur 18 tahun  ketika menuntut di sebuah universiti  dan sejak itu, dia sukar meninggalkan dadah yang menjadi sebahagian daripada hidupnya sehingga dia ditahan pihak berkuasa, tahun lalu.

Bekas pelajar lepasan Diploma Perniagaan dan Pengurusan itu berkata, hampir 50 peratus rakannya di universiti mengambil syabu kerana percaya dadah itu mampu memberi tenaga bagi membolehkan mereka bersengkang mata mengulang kaji pelajaran sepanjang musim peperiksaan.

“Saya mula mengambil dadah jenis syabu ketika berada di semester satu lagi selepas terpengaruh dengan tawaran rakan.

“Namun, perkara itu hanya memberi kesan buruk dalam perjalanan hidup saya. Tahun lepas, saya mula berhenti menagih apabila ditahan pihak berkuasa dan menjalani pengawasan sehingga 2021,” katanya kepada pemberita dalam Program NGO Perangi Dadah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putra, di sini semalam. 

Program itu dirasmikan oleh Naib Pengerusi Amanah negeri, Che Ibrahim Mohamad dan dihadiri seramai 110 OKP dari daerah ini. 

Yang turut hadir,  Pengarah AADK negeri, Rohayu Ahmad; Ketua Pegawai AADK Kota Bharu, Mohd Rizaridzuan Othman dan Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kelantan, Wan Husin Wan Mohd Nor.

Sementara itu,  OKP, Fahmi (bukan nama sebenar), 27, berkata, perasaan ingin mencuba menjerumuskan dirinya ke dalam gejala penagihan dadah jenis Methamphetamine sejak hujung 2016 lalu dan kini dia benar-benar menyesal.

“Mula-mula saya hanya ingin mencuba buat pertama kali setelah didesak rakan sekampung, akhirnya saya terjebak dan ditangkap pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kelantan, April tahun lalu.

“Ketika ditangkap saya berada di rumah dan saya nekad berubah selepas melihat emak yang menangis serta merayu kepada pihak berkuasa agar tidak menangkap saya,” katanya. 

Terdahulu, Rohayu berkata,  seramai 6,307 penagih baru di negeri ini dikesan dalam tempoh dua tahun bermula 2017 dan daripada jumlah tersebut, seramai 63 remaja bawah umur seawal usia 14 tahun dikesan sebagai penagih dadah. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN