86 pelatih keracunan, dapur Kolej Vokasional Kuala Kangsar diarah tutup - Utusan Malaysia

86 pelatih keracunan, dapur Kolej Vokasional Kuala Kangsar diarah tutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KANGSAR – Seramai 86 pelatih Kolej Vokasional Kuala Kangsar di sini mengalami keracunan makanan selepas kesemua mereka menghidap gelaja termasuk sakit perut, muntah, cirit-birit dan demam kelmarin.

Pengarah Jabatan Kesihatan Perak, Datuk Dr. Ding Lay Ming berkata, kesemua mangsa yang berusia 16 hingga 19 tahun itu segera dibawa ke Hospital Kuala Kangsar bagi tujuan rawatan lanjut.

“Enam daripada mereka ditahan di wad hospital dan berada dalam keadaan stabil manakala selebihnya hanya dirawat sebagai pesakit luar.

“Salah seorang mangsa yang dirawat di wad bagaimanapun dibawa ke hospital swasta untuk rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online sebentar tadi.

Tambah Lay Ming, ekoran itu, dapur asrama kolej berkenaan telah diarahkan tutup di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tujuan siasatan dan pembersihan.

“Pemantauan terhadap status kesihatan pelatih yang terlibat masih diteruskan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar dan sehingga kini status kes tersebut adalah terkawal.

“Punca kejadian masih disiasat dan sampel telah diambil untuk ujian Makmal Kesihatan Awam Ipoh,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN