SRINAGAR 15 Feb. – Sekurang-kurangnya 46 anggota tentera India terbunuh dalam serangan pengebom bunuh diri di wilayah bergolak Kashmir dekat sini yang disifatkan sebagai terburuk dalam tempoh dua dekad.
Al-Jazeera melaporkan, penyerang yang disyaki pemberontak tempatan itu merempuh sebuah bas yang membawa pasukan separa tentera dengan kereta terbakar di lebuh raya berdekatan Kampung Lethpora di daerah Pulwama, semalam.
Seorang pegawai kanan memberitahu, sekurang-kurangnya 46 anggota separa tentera disahkan maut manakala lebih 12 yang lain cedera dalam serangan tersebut.
Beliau berkata, serangan bom kereta jarang berlaku di Kashmir.

Menurut pegawai terbabit, bas yang membawa pasukan separa tentera tersebut baharu pulang daripada konvoi ke Srinagar ketika dirempuh kenderaan pacuan empat roda, Scorpio.
“Serangan itu berlaku lewat petang semalam. Mereka yang cedera telah dibawa ke hospital. Kami masih mengumpulkan maklumat kejadian,” jelasnya.
Gambaran di tempat kejadian menunjukkan bas terbakar sepenuhnya manakala puluhan mayat bergelimpangan di lebuh raya.
Kumpulan pemberontak yang berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammed (JeM) dalam satu kenyataan kepada agensi berita tempatan mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.
RASA SEPERTI GEMPA BUMI
Seorang penduduk Kashmir yang berada berhampiran lokasi kejadian memberitahu, letupan bom menghasilkan gegaran seakan-akan berlaku gempa bumi.
“Saya merasakan gegaran seketika sebelum ternampak asap. Ini adalah satu letupan yang sangat kuat. Saya berjalan menghampiri lokasi kejadian dan ternampak bahagian anggota badan bergelimpangan di mana-mana,” kata penduduk berusia 45 tahun yang enggan dikenali.
Serangan semalam berlaku ketika India sedang mempersiapkan pilihan raya Parlimen dalam tempoh dua bulan.
Sentimen anti-India menebal dalam kalangan penduduk Kashmir yang merupakan antara wilayah pemberontak militan di dunia dan majoriti penduduk setempat menyokong kumpulan tersebut.
PAKISTAN DIDESAK BERTANGGUNGJAWAB
India mengutuk serangan itu dengan Perdana Menteri, Narendra Modi menyifatkannya sebagai hina dan keji.
The Times Of India melaporkan, India meminta Pakistan bertanggungjawab atas serangan pengganas yang paling teruk oleh militan Daesh yang dikawal oleh JeM.
India meletakkan tanggungjawab ke atas Pakistan susulan pembunuhan tersebut kerana JeM merupakan kumpulan yang diasaskan di negara tersebut.
Kementerian Hal Ehwal Luar berkata, pihaknya menuntut Pakistan berhenti menyokong kumpulan pengganas yang beroperasi dari wilayah mereka dan membongkar infrastruktur yang digunakan untuk melakukan serangan ke atas negara lain.










