JASIN – Selepas lebih 48 jam dilaporkan hilang dari rumahnya di Kampung Orang Asli Solok Terentang di sini, seorang wanita yang mengalami masalah kemurungan ditemui penduduk kampung dalam keadaan selamat, hari ini.
Rosiah Mansor, 52, yang merupakan ibu tunggal dijumpai oleh penduduk kampung di dalam kawasan semak pada jarak kira-kira 2.5 kilometer dari rumahnya pada pukul 9.50 pagi.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, wanita itu ditemui dalam keadaan lemah, namun tidak mengalami kecederaan luaran.
“Mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli di kampung berkenaan yang kemudian segera memaklumkannya kepada pasukan bomba yang melakukan operasi pencarian.
“Keadaan mangsa ketika ditemukan dalam keadaan lemah, mungkin disebabkan sudah beberapa hari tidak makan dan minum namun ingatannya masih baik termasuk mampu mengingati nama dan tempat tinggalnya,” kata jurucakap itu ketika dihubungi sebentar tadi.
Katanya, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Jasin untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.
Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat di pekarangan rumahnya di Lorong Kampung Orang Asli Solok Terentang kira-kira pukul 7 pagi, Sabtu lalu.
Kehilangan Rosiah yang menghidap sawan sejak darjah 4 selain mengalami kemurungan selepas bercerai kira-kira 15 tahun lalu disedari anak lelakinya, Engku Airil Azuan Tengku Adzha, 32.
Operasi mencari dan menyelamat dijalankan dengan bantuan sepasukan 30 anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat di Air (PPDA), Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) bermula pada pukul 8 pagi sejak Sabtu lalu sehingga hari ini. – K! ONLINE










