[VIDEO] 34 cedera terkena letupan mercun - Utusan Malaysia

[VIDEO] 34 cedera terkena letupan mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Sambutan perayaan Thaipusam di Batu Caves dicemari dengan insiden letupan mercun sehingga mengakibatkan 34 individu cedera di sini semalam.

Difahamkan, kejadian yang berlaku di atas jambatan persimpangan bertingkat Jalan Lingkaran Tengah (MRR2) berhampiran Kuil Sri Subramaniam itu turut mengakibat tiga kenderaan mengalami kerosakkan kecil.

Kejadian kira-kira 8.40 malam itu dipercayai dilakukan seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang datang ke kuil berkenaan bersama dua rakannya bagi upacara keagamaan.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof (gambar kecil) berkata, suspek telah membakar mercun bagi meraikan dan menyambut perayaan Thaipusam sebelum ia tiba-tiba meletup.

“Mercun terbabit sepatutnya meletup di udara namun atas masalah teknikal ia telah meletup di atas jalan raya sehingga mengakibatkan 34 individu yang berada berhampiran kawasan berkenaan cedera.

“Letupan berkenaan turut menyebabkan tiga kereta jenis kenderaan pelbagai guna (MPV) Nissan Serena, Proton Exora dan Perodua Myvi mengalami kerosakan,” katanya pada sidang akhbar di Pondok Polis Batu Caves di sini hari ini.

Katanya, sejurus kejadian, pihaknya telah menahan suspek yang membakar mercun itu untuk tindakan lanjut.

“Kita juga telah menahan seorang rakannya yang berusia 28 tahun pada pukul 1 pagi bagi membantu siasatan dan usaha mengesan seorang lagi rakan mereka sedang giat dijalankan.

“Saya juga ingin menegaskan kejadian ini tidak membabitkan isu khianat sebaliknya ia merupakan satu insiden yang berlaku secara spontan dimana tujuan suspek membakar mercun untuk meraikan Thaipusam,” jelasnya. – K! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×