ALOR SETAR – Guru Pendidikan Islam, Nur Farhana Ibrahim, 27, yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu sebelum ditemui dalam keadaan selamat semalam memerlukan masa untuk menenangkan fikiran kerana emosinya masih belum stabil sepenuhnya.
Abang sulungnya, Ahmad Fahmi, 45, berkata, dia sendiri belum dapat menemui Nur Farhana memandangkan adik iparnya, Muhammad Naim Mahayaddin, 29, meminta supaya adiknya itu diberikan ruang untuk berehat.
“Selain itu, emosi adik saya itu juga dikatakan belum stabil yang mana ada masa dia nampak ceria, ada masa dia diam,” katanya ketika ditemui di rumah bapanya, Ibrahim Abdullah, 71, di Kampung Sematang, Kuala Kedah di sini hari ini.
Katanya, dia juga tidak mengetahui apa sebenarnya yang berlaku sepanjang kehilangan Nur Farhana dan polis memaklumkan Nur Farhana tidak mengingatinya.
“Saya tidak akan tanya adik tentang kejadian dalam tempoh terdekat ini kerana tidak mahu dia berasa tertekan lagi, biarlah dia berehat bersama suami dan anak perempuannya dahulu,” ujarnya.
Dalam pada itu, menurut Ahmad Fahmi, keluarga berkemungkinan akan membawa Nur Farhana menjalani rawatan perubatan Islam bagi memulihkan semula semangatnya.
Sementara itu, tinjauan ke rumah keluarga mertua Nur Farhana di Alor Senibong, Langgar di sini mendapati tiada penghuni di rumah tersebut dan jiran memaklumkan ustazah dan keluarganya itu keluar sejak awal pagi lagi.
Kosmo! Online semalam melaporkan seorang ustazah Sekolah Kebangsaan Genting, Balik Pulau, Nur Farhana yang dilaporkan hilang sejak Isnin lalu telah dijumpai dalam keadaan murung di Kuala Kangsar, Perak semalam. – K! ONLINE










