Tunku Azizah sumber inspirasi wanita - Utusan Malaysia

Tunku Azizah sumber inspirasi wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN 28 Jan. – Keperibadian dan ketokohan Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang diangkat sebagai Tengku Ampuan Pahang menjadikan baginda sebagai ikon serta sumber ins­pirasi rakyat khususnya dalam kalangan wanita.

Bekas Menteri Pembangu­nan Wanita, Keluarga dan Ma­syarakat, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil yang berkongsi ke­kagumannya terhadap keperi­badian Tunku Azizah berkata, semasa beliau berada dalam kerajaan dan ditugaskan menjaga wanita, keluarga serta kebajikan, Tunku Azizah menjadi ikon dan sumber inspirasinya.

“Pada musim tengkujuh, Tuanku tidak jemu bersama anakanda-anakanda baginda mencurah tenaga turun padang memasak untuk menjamu mereka yang terjejas.

“Tuanku masyhur dengan bakat antara lainnya memasak namun yang istimewa adalah air tangan Tuanku sering dikongsi dengan rakyat jelata. Kekaguman mekar di hati saya melihat sendiri kasih Tuanku kepada rakyat,” katanya di sini hari ini.

Menyifatkan Tunku Azizah sebagai permata dan permaisuri di hati rakyat, Shahrizat berkata, usaha baginda menubuhkan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) sejak 2004 membawa senyuman kepada mereka yang akhirnya dikurniakan cahaya mata menerusi rawatan di bawah yayasan berkenaan.

Katanya, cantuman kasih sayang menyeluruh Tunku Azizah kepada rakyat dengan minat mendalam terhadap karya halus seni Melayu menghadirkan peluang pekerjaan kepada penghuni tirai besi menerusi Yayasan Tenun Pahang Diraja.

“Di mata dunia, Tuanku menjadi perhatian dan ikutan. Membawa Women Institute of Pahang ke United Nations (UN), diangkat sebagai Timbalan Presiden Jawatankuasa Bangsa Bersatu Persatuan Wani­ta Desa Sedunia (ACWW) UN, diberi mandat menjadi Presi­den ACWW SEA & Far East dan memberi sumbangan serta idea di pelbagai forum antarabangsa serta banyak lagi. Sungguh, Malaysia diangkat lebih tinggi atas usaha dan ketekunan Tuanku membela rakyat dan negara,” ujarnya.

Bagi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang juga Ahli Parlimen Kuantan, Tunku Azizah amat prihatin terhadap kebajikan rakyat dan adat warisan negeri ini.

Perkara berkenaan, kata beliau, terbukti apabila baginda turun padang semasa rakyat di­timpa bencana sama ada mengiringi Sultan Pahang Keenam, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah atau bersendirian.

“Tunku Azizah menyingsing lengan baju memasak untuk mangsa bencana di pusat-pusat pemindahan banjir manakala dari segi masakan dan adat wari­san pula, baginda bersungguh mempelopori serta menjuarainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×