PUTRAJAYA 28 Jan. – “Tunggu sehingga apa Guan Eng cakap.”
Itu reaksi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad apabila diasak oleh media mengenai pendirian kerajaan berhubung projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang terus mencetuskan tanda tanya banyak pihak.
Beliau turut meminta pihak media “tunggu dan bersabar” ketika ditanya apa keputusan sebenar kerajaan berkenaan projek itu selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengeluarkan kenyataan bercanggah.
Malah ketika dimaklumkan kenyatan Mohamad Azmin yang sebelum ini yang memaklumkan bahawa kerajaan telah memuktamadkan pembatalan kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek berkenaan, Dr. Mahathir sebaliknya berkata: “Tunggu, tunggulah.
“Guan Eng dah buat kenyataan dah? Belum lagi, kita tunggu dia lah.”
Beliau turut menafikan penularan surat menggunakan kepala surat kerajaan mengenai pembatalan projek ECRL.
“Kepala surat kerajaan semua orang boleh ambil, potong buat kepala surat. Ini bukan rasmi,” tegas beliau.
Surat dengan kepala surat Menteri Kewangan Malaysia bertarikh 18 Januari 2019 itu memaklumkan pembatalan projek ECRL berkuat kuasa serta-merta.
Serentak itu, surat berkenaan yang didakwa ditandatangani oleh Guan Eng telah meminta Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. memaklumkan keputusan kerajaan itu kepada kontraktor utama iaitu CCCC dan China Communications Construction Company (M) Sdn. Bhd. serta pembiaya projek, EXIM Bank China dan institusi pembiayaan lain yang terlibat. – UTUSAN ONLINE










