Tommy cuba kaburi mata rakyat - Utusan Malaysia

Tommy cuba kaburi mata rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 12 Jan. – Kenyataan Peguam Negara, Tommy Thomas bahawa kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan sebarang arahan luar didakwa sebagai cubaan untuk mengaburi mata rakyat.

Khususnya berkaitan bebe­rapa kes melibatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) yang dibebaskan sebelum bicara se­kali gus mengundang rasa tidak puas hati dalam kalangan rak­yat.

TOMMY THOMAS
TOMMY THOMAS 

Setiausaha Agung Pertubuhan Alumni Mahasiswa Turun Parlimen (Mantap), Muhammad Ariff Misman menegaskan Tommy sewajarnya memahami badan kehakiman tidak boleh dikawal oleh badan eksekutif dan legislatif sebaliknya perlu tunduk kepada Yang di-Pertuan Agong sahaja.

“Malangnya perkara tersebut tidak berlaku sekarang, apa yang rak­yat lihat wujud cam­pur tangan dalam urusan kehakiman. Lihat sahaja kes rasuah melibatkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang dihentikan tanpa perbicaraan lanjut.

“Perkara ini tidak bagus untuk Malaysia kerana tiada individu melebihi undang-undang negara, rakyat memerhati perkara ini. Kini Tommy cuba untuk menutup lubang yang telah digali dengan kenyataan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dengan arahan luar,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam, Tommy berkata, kerajaan tidak akan sesekali bertolak ansur dengan sebarang arahan luar untuk mempengaruhi sistem perundangan negara.

Katanya, jika perkara itu berlaku sistem kehakiman negara akan kembali menyinar seperti di bawah era Ketua Hakim Negara yang lalu iaitu Almarhum Sultan Azlan Shah dan Tun Moha­med Suffian Mohamed Hashim.

Sementara itu, Pre­siden Gabungan Pela­jar Melayu Semenanjung (GPMS), Zambri Mohd. Isa merasakan badan kehakiman negara kini masih lagi dipengaruhi oleh unsur politik yang bermotifkan membalas dendam.

Tegasnya, perkara tersebut perlu diperbaiki terlebih dahu­lu jika mahu melihat sistem kehakiman di negara kembali dihormati semua pihak.

“Sistem kehakiman kita ma­sih tidak banyak berubah, masih dipengaruhi, dipegang oleh motif politik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN