KUALA LUMPUR 12 Jan. – Tembelang seorang ahli perniagaan yang mendakwa wang berjumlah RM160,000 miliknya dilarikan akibat disamun terbongkar selepas siasatan polis mendapati wang itu sebenarnya digunakan untuk membayar hutang peribadi.

Penipuan ahli perniagaan berusia lingkungan 30-an itu yang bersubahat dengan rakannya untuk berbuat demikian terdedah apabila polis menemukan wang berjumlah RM49,400 di rumah mereka di Bandar Kinrara, Puchong dan Batu 9, Cheras, semalam.
Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek yang menjalankan perniagaan aksesori kereta itu membuat laporan polis kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis lalu dan mendakwa kenderaannya dilanggar dua lelaki dari arah belakang di Taman Kinrara, dekat sini.
Katanya, suspek turut mendakwa sebelum kejadian, dia telah mengeluarkan wang berjumlah RM160,000 untuk membayar gaji pekerja dan kesemua wang itu turut dilarikan penjenayah.
“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menipu pekerja mereka bagi melangsaikan hutang peribadi berjumlah kira-kira RM100,000. Perintah reman selama empat hari bermula hari ini terhadap kedua-dua suspek telah dikeluarkan oleh Mahkamah Petaling Jaya. Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.










