KUALA TERENGGANU 1 Jan. – Kerajaan negeri mahu bergerak lebih agresif sempena kedatangan tahun baharu dalam menunaikan janji manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) kepada rakyat.
Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, Pas kini perlu berada di paras kelajuan ‘gear dua’ selepas kira-kira tujuh bulan mengambil alih pemerintahan negeri.
“Tahun 2018 adalah tempoh untuk kita mengenal pasti masalah yang wujud dan mencari jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah itu.
“Pada 2019 kita masuk ‘gear dua’ yang mana janji yang dilontarkan semasa PRU-14 akan diteruskan dengan lebih agresif,” katanya selepas menghadiri Program Sambutan Ambang Tahun Baharu 2019 di Wisma Darul Iman di sini malam tadi.
Yang hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman; Datuk Bandar, Samiun Salleh dan Pengarah Unit Penerangan Darul Iman (UPDI), Sood Said.
Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri tidak terikat dengan janji sasaran masa dalam menunaikan kesemua 20 kandungan manifesto parti dalam PRU-14 bagi negeri ini sebaliknya akan dibuat secara berperingkat.
Katanya, setakat ini 12 manifesto sedang dilaksanakan dan akan diteruskan pada tahun ini memandangkan ada antaranya yang memerlukan penambahbaikan serta kajian.
“Kita tidak tergesa-gesa untuk laksanakan semua sekali gus, kita buat dalam satu-satu masa asalkan memberi kesan kepada rakyat dan dapat dirasai oleh mereka.
“Saya rasa ini kunci yang lebih penting bukan mencari alasan untuk tidak laksanakan manifesto, tetapi cari jalan untuk laksanakan tanpa menyalahkan mana-mana pihak sama ada pada waktu lampau atau sesiapa sahaja,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Sam- suri turut menjangkakan pertumbuhan ekonomi negeri akan terus kekal positif tahun 2019 di sebalik ketidaktentuan ekonomi global.










