SPR terima 12,914 permohonan pemilih baharu - Utusan Malaysia

SPR terima 12,914 permohonan pemilih baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 28 Jan. – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 12,914 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat Tahun 2018 (ST4/2018).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, bagi tempoh itu juga SPR turut menerima sebanyak 6,791 permohonan untuk pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

“Selaras dengan peruntukan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST4/2018 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 29 Januari hingga 11 Februari ini di 958 tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2018 hingga 31 Disember 2018 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST4/2018,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Azhar Azizan, sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST4/2018, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B.

Katanya, bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana individu di dalam Rang DPT ST2/2018 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, mereka boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN