SPR pamer rang daftar pemilih tambahan suku keempat 2018 mulai esok - Utusan Malaysia

SPR pamer rang daftar pemilih tambahan suku keempat 2018 mulai esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima sebanyak 12,914 permohonan pendaftaran pemilih baharu daripada warganegara yang layak dalam tempoh urusan pendaftaran pemilih Suku Tahun Keempat Tahun 2018 (ST4/2018).

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, bagi tempoh itu, SPR juga menerima sebanyak 6,791 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar.

Jelasnya, ia selaras dengan peruntukan Peraturan 13, Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002, Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi ST4/2018 akan dipamerkan selama 14 hari mulai 29 Januari hingga 11 Februari ini di 958 tempat pameran di seluruh negara.

“Pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan pemilih berdaftar yang memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2018 hingga 31 Disember 2018 dinasihatkan untuk menyemak nama mereka dalam Rang DPT ST4/2018.

“Sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dalam Rang DPT ST4/2018, mereka boleh membuat tuntutan melalui Borang B,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, bagi pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam Rang DPT ST2/2018 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi Borang C.

Jelasnya, tuntutan atau bantahan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat sepanjang tempoh pameran Rang DPT itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran Rang DPT ST4/2018, SPR juga mempamerkan nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih. Antara asas SPR mengeluarkan nama pemilih berkenaan daripada daftar pemilih adalah kerana mereka telah meninggal dunia atau hilang taraf kewarganegaraan berdasarkan peruntukan Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“SPR juga melalui kerjasama dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk mendapatkan maklumat pegawai dan anggota polis dan tentera yang telah menamatkan perkhidmatan,” katanya.

Tambah Azhar, berdasarkan maklumat itu, SPR akan mengemas kini maklumat lokaliti mereka daripada lokaliti polis dan tentera kepada lokaliti awam tetapi kekal dalam kawasan pendaftaran masing-masing.

 “Tindakan pengemaskinian ini adalah bagi memastikan mereka akan mengundi sebagai pengundi biasa dan bukan lagi sebagai pengundi awal kerana mereka telah tamat perkhidmatan polis atau tentera.

“SPR menyeru kepada semua pemohon yang telah memohon untuk mendaftar sebagai pemilih baharu dan memohon pertukaran bahagian pilihan raya mulai 1 Oktober 2018 hingga 31 Disember 2018 supaya membuat semakan nama mereka di tempat-tempat diwartakan,” katanya.

Sebarang pertanyaan mengenai pameran Rang DPT ST4/2018 boleh menghubungi Ibu Pejabat SPR melalui nombor telefon 03-8892 7018 atau menghubungi Pejabat Pilihan Raya Negeri.

Pemohon juga boleh melayari portal SPR di www.spr.gov.my atau menerusi aplikasi telefon pintar MySPR Semak untuk menyemak senarai nama yang dipamerkan dalam Rang DPT ST4/2018. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN