PUTRAJAYA 28 Jan.- Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah membuat laporan polis terhadap calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands, M. Manogaran.
Suruhanjaya itu dalam kenyataannya berkata, laporan dibuat selepas Manogaran memasuki pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Senderut, Hulu Jelai pada hari pengundian dengan memakai baju yang mempunyai logo parti.
“Tindakan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya (AKPR) 1954. Laporan polis tersebut telah dibuat oleh petugas SPR di Balai Polis Sungai Koyan,” kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataannya di sini hari ini.
Menurut suruhanjaya itu, pihaknya juga telah mengambil tindakan yang serupa terhadap pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 berkaitan penubuhan barung-barung oleh parti pada hari mengundi.
“Tiga laporan polis dibuat Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya melibatkan sembilan pusat mengundi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanah Rata dan satu laporan polis melibatkan pusat mengundi di DUN Jelai.
“SPR menyerahkan kepada pihak polis untuk siasatan dan tindakan selanjutnya. SPR tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, SPR turut mengingatkan semua pihak agar sentiasa mematuhi setiap undang-undang dan peraturan pilihan raya yang ditetapkan bagi memastikan proses pilihan raya yang telus dan adil dapat dilaksanakan. – UTUSAN ONLINE










