Slot separuh akhir dalam genggaman - Utusan Malaysia

Slot separuh akhir dalam genggaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Satu slot separuh akhir dalam acara beregu campuran di Kejohanan Badminton Malaysia Masters sah menjadi milik pemain negara selepas pasangan utama, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dijadualkan bertemu dengan beregu kedua negara, Goh Soon Huat-Shevon Jemei Lai pada pusingan suku akhir yang bakal berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil hari ini.

Peng Soon-Liu Ying yang di­letakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan, mara ke pusingan tersebut setelah menewaskan juara Masters Thailand dari China, Lu Kai-Chen Lu 17-21, 21-17, 21-15 dalam tempoh 58 minit semalam.

Sementara Soon Huat-Jemie Lai pula menempah slot suku akhir tersebut dengan me­ngalahkan pasangan Jepun, Takuro Hoki-Wakana Nagahara dengan 21-13, 21-19 pada pusingan kedua.

Liu Ying menjelaskan pertemuan mereka dengan pasa­ngan yang lebih muda daripada mereka itu bakal menjanjikan satu pertarungan sengit memandangkan setiap pasangan sudah mengetahui kelebihan dan kelemahan masing-masing kerana pernah menjalani latihan bersama sewaktu berada di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.

“Saya jangkakan perlawanan tersebut akan menjadi menarik kerana masing-masing sudah mengetahui tentang kelemahan dan kekuatan kerana pernah menjalani latihan bersama-sama.

“Walaupun kami adalah pemain senior, kami tidak boleh memandang rendah terhadap kekuatan Soon Huat dan She­von kerana mereka adalah lawan yang kuat. Kami akan cuba bersungguh-sungguh untuk mara ke aksi separuh akhir,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.

Jelas Liu Ying, selain mengharapkan kemenangan, perkara positif dapat diambil daripada pertemuan kedua-dua beregu negara ini ialah satu slot ke pusingan separuh akhir sudah pun berada dalam genggaman Malaysia.

Kedua-dua pasangan tersebut pernah bertembung pada Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia April tahun lalu yang memihak kepada Peng Soon-Liu Ying.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×