GEORGE TOWN – Satu sindiket disyaki memproses serbuk minuman yang mengandungi dadah tumpas selepas tertangkapnya tiga individu dalam serbuan di negeri ini dan Perak semalam.
Suspek lelaki berusia di antara 30 dan 31 tahun itu ditahan semasa operasi yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang bermula pukul 3.30 petang kelmarin sehingga pukul 2.15 pagi semalam.
Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Roslee Chik berkata, pihaknya turut merampas serbuk minuman bercampur dadah dan beberapa jenis dadah lain yang kesemuanya bernilai hampir RM1.3 juta.
“Antara yang dirampas ialah 349 paket minuman berperisa disyaki mengandungi dadah MDMA seberat 11,885 gram (g), ketamin (830g), pil ekstasi 800 biji dan pil Eramin 5 (700 biji).
“Turut dirampas ialah alat pengisar dan pembungkus yang dipercayai digunakan bagi menyediakan bahan serbuk minuman itu,” katanya pada sidang akhbar di sini sebentar tadi.
Menurut Roslee, suspek kini direman selama tujuh hari di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. – K! ONLINE










