Siapa PM seterusnya sudah jelas, tak perlu dibangkit - Utusan Malaysia

Siapa PM seterusnya sudah jelas, tak perlu dibangkit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU 28 Jan. – Isu sama ada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad akan berkhidmat lebih lama atau mengikut rancangan asal Pakatan Harapan (PH) sebelum digantikan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu dibangkitkan mana-mana pihak.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, beliau tidak tahu kenapa Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membangkitkan perkara tersebut.

Beliau bagaimanapun menegaskan, soal itu sudah dibincang secara jelas dan terang dalam Majlis Presiden PH yang dipengerusikan oleh Dr. Mahathir sendiri.

“Saya tidak akan bercakap bagi pihak Timbalan Presiden atau Tun Dr. Mahathir. Soalnya, semua pemimpin PH yang menganggotai Majlis Presiden PH tahu duduk sebenar perkara ini, dalam keputusan Tun sebagai Perdana Menteri serta pengganti beliau.

“Perkara itu sebenarnya sangat jelas, terang dan nyata. Ia bukan untuk perkongsian umum buat masa ini tapi soalnya, perkara itu jelas dan tak perlu dibangkit sama sekali,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Youngpreneurs Go! anjuran Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) di Politeknik Kota Bharu, di sini hari ini.

Kelmarin, Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi menerusi akaun Twitter rasminya menyatakan rasa syukur dengan perkhidmatan Dr. Mahathir dan berharap beliau dapat menjadi Perdana Menteri sehingga ke akhir hayat.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, pembatalan hak penganjuran Kejohanan Renang Para Dunia 2019 tidak merugikan negara.

Paling penting kata beliau, Malaysia mempunyai hak dan alasan kukuh serta akan terus mempertahankan dasar untuk tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel.

“Tapi perlu diingat keputusan untuk terima hak penganjuran itu dibuat oleh kerajaan lepas (BN) dan mereka sedar bahawa penganjurannya adalah dengan penglibatan atlet dari Israel. Dan kerajaan sekarang (PH) yang kata tak boleh,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN