SFCSB tingkat tahap ketersambungan wifi di sembilan Taman Negara di Sarawak - Utusan Malaysia

SFCSB tingkat tahap ketersambungan wifi di sembilan Taman Negara di Sarawak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUCHING 28 Jan. – Sarawak Forestry Corporation Sdn Bhd (SFCSB) bekerjasama dengan Lembaga Multimedia Sarawak (SMA) bagi meningkatkan tahap ketersambungan Wifi di sembilan taman negara selaras dengan inisiatif teknologi digital negeri.

Ketua Pegawai Operasinya Zolkipli Mohamad Aton berkata dengan ketersambungan yang yang baik, beliau percaya ia akan memacu pendedahan mengenai taman-taman berkenaan di media sosial, di samping mempromosinya secara global.


Ia terdiri daripada Taman Negara Bako, Pusat Hidupan Liar Semenggoh, Taman Negara Gunung Gading, Taman Negara Tanjung Datu, Taman Negara Kubah, Pusat Hidupan Liar Matang dekat sini, Taman Negara Similajau dekat Bintulu, Taman Negara Niah dan Taman Negara Bukit Lambir dekat Miri.


“Sebagai pengurus kepada Kawasan Lindungan Sepenuhnya (TPA), kami berusaha keras mengimbangi antara pemeliharaan dan pembangunan pelancongan; dan sempena kempen “Sarawak More to Discover” kami akan membaiki dan meningkatkan lagi perkhidmatan serta kemudahan di TPA kami,” katanya pada majlis taklimat dan penghargaan media di sini hari ini.


Beliau berkata daripada 62 kawasan yang digazet sebagai TPA di seluruh negeri, SFCSB mempunyai 19, yang dibuka kepada orang ramai, yang menarik kunjungan sehingga hampir 600,000 pelawat setiap tahun.


Zolkipli berkata SFCSB turut mengenal pasti kawasan di Kuala Lawas untuk pembangunan terumbu karang ‘artificial’ bagi pemuliharaan penyu marin, yang digelar sebagai “Pan Borneo Project” tahun ini.


Projek utama menyusuri pantai dari Tanjung Datu di Sematan sehingga ke Lawas di utara Sarawak itu akan terus meningkatkan lagi usaha-usaha pemeliharaan dan perlindungan kehidupan marin,” katanya.


Beliau berkata tahun lepas SFC membangunkan 600 terumbu karang berkenaan di perairan Belawei-Paloh, dan 600 lagi di Miri Sibuti Coral Reefs National Park.


“Bagi jangka panjang, ia bukan sahaja membantu kita untuk menjaga alam sekitar dan sumber pemeliharaan marin dalam kawasan perairan kita, tapi turut membantu dalam menyumbang kepada penangkapan ikan yang lestari bagi para nelayan yang tinggal di kawasan berkenaan, sekaligus dapat menambah pendapatan dan taraf kehidupan mereka,” katanya.


Dari segi pelancongan-eko, beliau berkata ia boleh menjadi kawasan tarikan pelancong yang berminat dengan aktiviti menyelam dan memancing.


SFCSB adalah syarikat milik sepenuhnya kerajaan negeri khusus bagi menempatkan Sarawak di barisan hadapan dalam aspek pengurusan dan pemuliharaan hutan yang lestari. – BERNAMA

 



Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN