'Saya tak sentuh isu politik kepartian’ - Hasanuddin - Utusan Malaysia

‘Saya tak sentuh isu politik kepartian’ – Hasanuddin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Jan. – “Saya tiada menyentuh isu politik kepartian”.

Itu penegasan Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd. Yunus berhubung penularan video yang merakamkan beliau bercakap tentang perkara didakwa berbaur politik di hadapan murid sekolah.

Beliau malah memberitahu tidak pernah menyebut isu Pakatan Harapan, soal kerjasama UMNO dan Pas, mahupun kehilangan kerusi MIC di Cameron Highlands yang sangat rancak diperkatakan sekarang.

“Saya juga menyentuh pelbagai bantuan kerajaan kepada orang ramai walaupun hutang 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) dan bunganya masih meningkat dan menakutkan. Ia sangat bertepatan dengan tugas saya sebagai anggota Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Fokus saya kepada perkembangan pendidikan dan saya menganggap itu sebahagian majlis ilmu yang merupakan pesanan seorang pemimpin kepada anggota masyarakatnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas rakaman video memaparkan dirinya yang didakwa menyampaikan ucapan berunsur politik di hadapan murid sebuah sekolah rendah di Semenyih, Selangor, Sabtu lalu.

Tambah Hasanuddin, beliau sebenarnya merasmikan Majlis Penutup Kursus Kepemimpinan Pelajar di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma di daerah itu yang turut dihadiri oleh ibu bapa dan sebahagian guru.

“Dalam majlis itu, saya menyebutkan kata-kata Sayidina Omar Al-Khattab; didiklah anak-anak kamu agar mereka boleh hidup pada zaman mereka nanti.

“Saya juga mengupas kisah dan bahasa perbualan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sebelum melaksanakan tugas besar ibadah korban,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN