KUALA LUMPUR 17 Jan. – LEMBAGA Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) menyasarkan penggunaan Sistem Bangunan Berindustri (IBS) sebanyak 50 peratus bagi sektor pembinaan swasta menjelang 2020.
Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, buat masa ini, penggunaan IBS dalam sektor swasta adalah dianggarkan pada kadar 35 peratus.
Perkara itu merupakan satu perkembangan positif yang mana pemain industri pembinaan swasta telah mula menggunakan IBS, terutamanya bagi projek pembinaan bangunan di sekitar Lembah Klang.
“Jika kita lihat sekitar Kuala Lumpur sahaja, hampir semua projek bangunan tinggi menggunakan IBS, kerana pemaju pun tahu memang tidak berdaya maju sekiranya mereka menggunakan cara konvensional.
“Boleh dikatakan, untuk projek bangunan tinggi di sekitar Kuala Lumpur sahaja sudah mencapai 90 peratus,” katanya kepada pemberita selepas perasmian IMPACT iaitu satu program penilaian dan pensijilan bagi IBS di sini hari ini.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Kerja Raya, Baru Bian.
IBS merupakan teknik pembinaan yang mana komponen-komponen bangunan dihasilkan di kilang dalam persekitaran terkawal sebelum dihantar ke tapak pembinaan untuk dipasang.
Penggunaan IBS dilihat dapat mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh di samping membantu mempercepatkan masa pembinaan dan mengurangkan kenaikan kos bahan. – BERNAMA










