LONDON 24 Jan. – Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yakin Emiliano Sala yang dilaporkan hilang selepas pesawat ringan yang dinaikinya ‘kabur’ daripada radar ketika merentasi Selat Inggeris masih hidup.
Portal The Guardian melaporkan, Ketua Operasi SAR, Kapten David Barker berkata, pemain baharu yang menyertai kelab Cardiff City dan juruterbang pesawat ringan jenis Piper FA-46 Malibu itu berkemungkinan masih hidup jika mereka membuat rakit penyelamat.
“Tiada siapa termasuk saya yang berputus asa. Saya tidak fikir tiada peluang untuk mereka hidup,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Udara Kepulauan Channel, John Fitzgerald pula memberitahu, pihaknya sedang mencari sesuatu yang di luar jangkaan di permukaan laut.
“Mungkin pesawat itu sendiri, perahu penyelamat atau apa-apa barang berkaitan. Kita melihat banyak serpihan barangan di dasar laut, tetapi bukan daripada pesawat itu,” katanya.
Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan Sala dan juruterbang mampu ‘bertahan’ meskipun menggunakan perahu penyelamat kerana cuaca di laut adalah antara lapan hingga sembilan darjah Celcius, melainkan mereka dilengkapi dengan ilmu dan pakaian keselamatan di laut.
“Kalau tidak, mereka berdepan beberapa masalah serius. Bagaimanapun secara peribadinya, pasukan penyelamat menyatakan mempunyai harapan yang mereka masih hidup,” tambahnya.
Jabatan Siasatan Kemalangan Udara United Kingdom dalam satu kenyataan memberitahu, meskipun semua pesawat perlu mempunyai perakam penerbangan dan kotak hitam namun tidak diwajibkan kepada pesawat ringan seperti Piper PA-46 Malibu yang dinaiki Sala.
Sala dan juruterbangnya dikatakan terputus hubungan sejurus selepas pesawat yang dinaiki mereka berlepas dari Alderney di Kepulauan Channel, pada pukul 8.23 malam, Isnin lalu.
Penyerang terkenal itu dikatakan baharu sahaja menandatangani kontrak bernilai 17 juta Euro (RM80.1 juta).










