KUALA LUMPUR 1 jan. – Makanan Jepun dan Korea yang semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia mendorong Rosila Mohd. Rosidi untuk menghasilkan piza Jepun Okonomiyaki dan Sos DokiDoki yang dijamin halal.
Ini berdasarkan pengalamannya yang pernah menetap di Jepun selama tiga tahun ketika melanjutkan pengajian di Takamatsu National College of Japan dalam bidang Kejuruteraan Elektrikal, Elektronik dan Sains Komputer.
Sekembalinya ke Malaysia, Rosila bertugas dalam sektor swasta sebelum mengambil keputusan berhenti pada 2017.
Dalam tempoh itu, beliau turut menjalankan perniagaan dalam talian dengan menawarkan khidmat penghantaran piza Jepun dan sos melalui akaun Instagram miliknya, @dokidoki.okonomi sebelum terlibat sepenuh masa selepas itu.
“Bukan mudah untuk kita mulakan sesuatu yang baharu dalam pasaran. Okonomiyaki ini mungkin telah ada dalam pasaran di pelbagai pasar raya. Namun begitu, kita tidak tahu kualitinya. Produk piza kami menggunakan kepingan isi ikan bonito yang dijamin halal oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
“Cabarannya, kami perlu mencari bahan yang halal dengan kos berpatutan. Bahan yang kami guna ini dua kali ganda harganya berbanding produk Taiwan dan China. Tetapi dari segi kualiti dan pensijilan halalnya terjamin,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Rosila kini mendapat bimbingan Yayasan Hijrah Selangor berhasrat mengembangkan pasaran produknya ke luar negara dengan sasaran memasuki pasaran Jepun terutama mengambil kesempatan penganjuran Olimpik 2020.
Selain itu, beliau juga menerima tempahan untuk majlis perkahwinan, korporat dan sambutan hari jadi.
Jelas Rosila dengan kapasiti tenaga kerja sedia ada, syarikatnya boleh menghasilkan maksimum sehingga 1,000 keping piza setiap hari.
Pizza Jepun itu dihasilkan secara manual bagi mengekalkan tekstur piza yang asli dan mampu bertahan setahun jika disimpan dalam peti sejuk beku.
“Rencah utama piza ini datang daripada lapisan tambahan iaitu sos hitam, kepingan bonito, mayonis dan serbuk rumpai laut. Malah, sos yang kami hasilkan ini bukan sahaja boleh digunakan untuk penyediaan Okonomiyaki semata-mata tetapi juga sebagai sos barbeku, pencicah dimsum dan yong tau fu,” katanya.
Meskipun berdepan dengan pelbagai rintangan dalam dunia keusahawanan, ia tidak menghalang Rosila untuk mencapai matlamat utama dalam menyediakan makanan Jepun halal pada harga berpatutan iaitu RM15 bagi setiap unit piza dan sos.










