KUALA LUMPUR 19 Jan. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) melakukan rombakan besar-besaran dalam kepemimpinannya sempena Mesyuarat Ahli Dewan Tertinggi pertamanya tahun ini.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, ia terpaksa dilakukan berikutan segelintir ‘orang kuat’ pertubuhan itu sudah meninggalkan Perkasa.
“Mereka lari, mungkin kerana mengejar jawatan atau apa, wallahuaklam, kerana dasar perjuangan atau kerana menyokong Tun Dr. Mahathir (Mohamad),” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Regency, di sini hari ini.
Kata Ibrahim, walaupun ramai yang meninggalkan Perkasa, beliau akan terus istiqamah dengan perjuangannya.
“Tak apalah kalau hilang jawatan, cuma apabila meninggal (dunia) esok-esok harapnya saya dalam barisan depan masuk ke syurga.
“Sebab hati saya tak berbelah bagi, mulut saya bukan hipokrit. Begitu baru boleh jadi pemimpin,” katanya yang turut mendakwa pernah ditawarkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) suatu ketika dahulu.
Rombakan besar-besaran itu termasuklah pelantikan seorang Naib Presiden, Ketua Penerangan dan enam Yang Dipertua Negeri baharu. – UTUSAN ONLINE










