KANGAR 17 Jan. – Pemberian diskaun bagi bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) adalah inisiatif Bajet 2018 yang berakhir 31 Disember lalu.
Justeru, kata Timbalan Ketua Eksekutif PTPTN, Mastura Mohd. Khalid, tidak timbul isu sebenarnya pemberian diskaun tersebut dibatalkan oleh agensi itu.
Katanya, apabila inisiatif berkenaan tidak diumumkan dalam Bajet 2019 jadi pemberian diskaun itu tidak disambung.
“Tidak jadi isu batal atau tidak kerana ia inisiatif daripada Bajet 2018 yang berakhir pada 31 Disember lalu. Apabila tidak diumumkan dalam Bajet 2019, kita berhenti (pemberian diskaun),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Hari ini, wakil tiga pertubuhan bukan kerajaan (NGO) daripada persatuan mahasiswa Malaysia hadir menyerahkan Memorandum Mahasiswa kepada PTPTN dan menuntut supaya badan itu mempertimbangkan mekanisme pemberian diskaun bagi bayaran balik pinjaman seperti yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini.
Langkah itu termasuk mengembalikan semula faedah diskaun seperti 10 peratus bagi pembayaran secara konsisten dalam tempoh setahun dan potongan 20 peratus bagi pembayaran keseluruhan pinjaman.
Sementara itu, Mastura berkata, pihaknya akan meneliti memorandum tersebut yang meminta pemberian diskaun bayaran balik pinjaman daripada tabung itu diteruskan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu melibatkan dasar kerajaan dan pihaknya perlu meneliti daripada segenap aspek.
“PTPTN sentiasa mengambil perhatian apa sahaja yang ditimbulkan oleh pelbagai pihak demi manfaat para peminjam,” katanya.










