CAMERON HIGHLANDS – Sebanyak 17 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands diterima polis sejak hari penamaan calon pada 12 Februari lalu sehingga hari ini.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintendan Ashari Abu Samah berkata, antara laporan yang diterima pihaknya membabitkan kes pemberian wang, khemah dirosakkan, penyebaran kertas undi di media sosial dan insiden kekecohan di Sungai Koyan semalam.
“Satu kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 5(6)(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1964.
“Polis juga menerima satu laporan daripada calon Barisan Nasional (BN), Ramli Mohd. Nor berhubung isu di Sungai Koyan dan laporan berhubung salah guna jentera kerajaan oleh jentera BN,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Media PRK Cameron Highlands di sini hari ini.
Tambah Ashari, kedua-dua kes tersebut bagaimanapun masih dalam siasatan dan pihaknya sedang menunggu masa untuk mengambil keterangan pengadu.
“Bagi kes pemberian wang pula, ia telah diserahkan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut,” katanya.
Menurutnya, sebanyak 41 permit ceramah dikeluarkan iaitu 25 permit daripada BN manakala selebihnya daripada PH dan setakat ini ceramah yang diadakan berjalan lancar tanpa kejadian tidak diingini.
Sementara itu, Ashari menjangkakan lebih 90 peratus pengundi awal yang terdiri daripada pegawai dan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menunaikan tanggungjawab mereka esok.
“Seramai 247 pegawai dan anggota yang terlibat dalam undi awal itu merangkumi mereka yang masih berkhidmat, telah bertukar lokasi kerja, bersara dan meletakkan jawatan atau dibuang kerja.
“Daripada jumlah itu, seramai 232 orang akan mengundi di bilik maklumat Balai Polis Brinchang dan 15 orang lagi di Balai Polis Sungai Koyan,” katanya.
Katanya, PDRM mewajibkan semua anggota polis untuk keluar mengundi dan mereka yang berada di luar kawasan kerana bertukar telah diberi arahan untuk hadir esok. – K! ONLINE










