Piala Negara Afrika ditunda kerana Ramadan - Utusan Malaysia

Piala Negara Afrika ditunda kerana Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

kaherah 28 Jan. – Konfederasi Bola Sepak Afrika (CAF), hari ini, mengumumkan bahawa Piala Negara-Negara Afrika 2019 hanya akan menyempurnakan sepak mula pada 21 Jun ini di Mesir, sebagai menghormati bulan Ramadan, kata Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Mesir, Ahmed Shobeir.

Pertan­dingan tersebut sepatutnya dijadualkan bermula pada 14 Jun, tetapi bagi memenuhi permintaan beberapa negara Afrika Utara yang mahukan kejohanan dwi tahunan itu dilewatkan seminggu, maka, CAF telah bersetuju untuk berbuat demikian.

Piala Negara-Negara Afrika yang pada awalnya berlangsung selama empat minggu iaitu pada 15 Jun-13 Julai telah ditunda kepada tarikh baharu 21 Jun-19 Julai.

Sementara itu, bekas pemain Mesir, Mohamed Fadl yang diberi kepercayaan bagi menyeliakan kejohanan peringkat benua itu berkata, keputusan diambil setelah mengambil kira permintaan beberapa negara peserta yang mahukan pemain mereka diberi masa yang mencukupi untuk berehat.

“Konfederasi Bola Sepak Afrika telah dimaklumkan secara rasmi berhubung tarikh baharu itu. Kepu­tusan tersebut dibuat setelah mengambil kira permintaan dari negara Maghribi, Tunisia dan Algeria yang mahu pemain mereka mem­punyai masa untuk berehat selepas penghujung Ramadan,” katanya.

Bulan Ramadan, di mana umat Islam melaksanakan ibadah puasa, akan bermula pada Mei hingga awal Jun ini. Piala Negara-Negara Afrika buat pertama kalinya untuk tahun ini berlangsung dalam musim panas dan melibatkan 24 pasukan berbanding 16 sebelum ini.

Pada 8 Januari lalu, Ja­watan­kuasa Eksekutif CAF mengumumkan bahawa Me­sir akan menjadi tuan rumah Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2019. Mesir memenangi hak penganjuran pertandingan itu selepas bersaing dengan Afrika Selatan.

Cameroon sepatutnya menggalas tugas selaku tuan rumah untuk pertandingan 2019. Bagaimanapun, hak mereka sebagai tuan rumah telah dilucutkan kerana berlaku kelewatan yang serius dalam persediaan menganjurkan pertandingan itu. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×