Persatuan sukan di Johor disaran bergabung - Utusan Malaysia

Persatuan sukan di Johor disaran bergabung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU 29 Jan. – Persatuan-persatuan sukan yang berdaftar di negeri ini disaran untuk bergabung, kata Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Kebudayaan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar.

Beliau berkata, cadangan gabungan itu akan memudahkan kerajaan negeri untuk memantau pembangunan atlet yang mewakili negeri atau negara dalam persatuan yang disertai mereka.

Menurutnya, hasil pemantauan pihaknya mendapati kebanyakkan persatuan sukan yang diwujudkan di negeri ini bergerak sendiri tanpa sebarang bimbingan serta bantuan.

“Kerajaan negeri berharap semua persatuan sukan tidak kira persatuan bola sepak, bola jaring atau sepak takraw disaran bergabung di bawah persatuan induk yang terdapat di setiap daerah.

“Sebagai contoh, bola sepak, di negeri ini banyak persatuan sukan itu yang diwujudkan, namun ada ahli mereka yang mewakili negeri tetapi tidak berdaftar dengan persatuan bola sepak di daerah.

“Jadi ia akan menimbulkan masalah untuk dipantau dan menyalurkan sebarang bantuan kepada persatuan terlibat. Apa yang kita mahu mereka bergabung di bawah satu persatuan induk sama juga sukan yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohd. Khuzzan menasihatkan persatuan belia di negeri ini yang diwujudkan dengan usaha sendiri turut bergabung sekali gus menjalankan aktiviti bersama-sama yang dapat memberi impak lebih besar kepada anak muda.

Tambahnya, beliau melihat banyak persatuan belia diwujudkan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menjalankan aktiviti sendiri termasuk mencari dana bagi melaksanakan program.

“Saranan saya supaya persatuan itu dapat bergabung di bawah satu gabungan dan mengadakan aktiviti bersama,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×