KUALA LUMPUR 19 Jan. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pelbagai isu yang meresahkan orang Melayu sejak kebelakangan ini.
Presidennya, Datuk Dr. Ibrahim Ali berkata, antara perkembangan yang merisaukan adalah tentang peruntukan kepada institusi pendidikan swasta Cina serta isu pemergian anggota bomba dan penyelamat, Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim.
“Saya beritahu secara terus-terang, jika kes Muhammad Adib ini tidak selesai, (ada yang) tidak puas hati mengikut pandangan rakyat, sama ada semasa didakwa nanti (atau) hasil inkues, kalau tak dibuat dengan telus dan sepatutnya, saya cukup yakin kes ini saja, terutama dalam kalangan orang Melayu, boleh membawa kepada kejatuhan PH,” katanya dalam sidang akhbar di Hotel Regency di sini hari ini.
Beliau mengulas pengurusan kes inkues Muhammad Adib yang meninggal dunia selepas dipercayai dipukul dalam insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Subang Jaya, November lalu.
Selain itu, Ibrahim turut mempersoal peruntukan yang diberikan Kementerian Kewangan kepada Kolej Universiti New Era yang tidak dinyatakan dalam Belanjawan 2019.
Tambah beliau, cadangan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum supaya satu audit terhadap undang-undang berkaitan hak pribumi dilakukan perlu disokong sepenuhnya.
Kata beliau, audit itu boleh memberi penjelasan kepada orang ramai tentang hak pribumi termasuklah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
“Banyak kontroversi selama ini. Perkara-perkara ini adalah asas Perlembagaan yang tidak boleh diusik tetapi ramai yang mengungkit atas nama demokrasi dan hak asasi.
“Audit ini boleh membantu orang ramai memahami Perlembagaan Persekutuan dan dijadikan rujukan oleh kerajaan,” katanya.










