SITIAWAN – Penternak ayam di Perak diberi tempoh sehingga Disember 2021 untuk menggunakan sistem penternakan tertutup bagi membendung masalah lalat yang sering mengganggu masyarakat setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional dan Sumber Manusia, A. Sivanesan berkata, tempoh tersebut selaras dengan arahan kerajaan Persekutuan yang turut mengarahkan penternak khinzir menukar sistem penternakan dari sistem terbuka kepada sistem tertutup di seluruh negara.
Katanya di Perak, Manjung merupakan daerah yang paling banyak ladang ayam iaitu 183 buah dengan kapasiti lebih 13 juta ekor ayam dan sehingga tahun lepas terdapat 87 ladang tertutup serta 96 ladang terbuka.
“Penternak yang menggunakan sistem penternakan ladang terbuka ini, ada dua masalah yang mengganggu iaitu masalah lalat dan juga bau,” katanya kepada pemberita selepas melawat ladang ternakan ayam syarikat Dinding Poultry Development Centre Sdn. Bhd. di Segari di sini hari ini.
Difahamkan, antara tindakan yang boleh dikenakan jika gagal mematuhi tempoh akhir tersebut adalah lesen tidak diperbaharui selain berdepan penutupan operasi. – Bernama










