KUANTAN 17 Jan. – PENGGUNAAN perkataan ‘Al’ di depan nama Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah adalah mengikut nahu Arab yang tepat.

Mufti Pahang, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Osman berkata Al-Sultan Abdullah mempersetujui penggunaan nama itu mengambil kira ketepatan nahu Arab, berbeza daripada kebiasaan orang Melayu yang terus menyebut ‘Sultan’.
“Penggunaan ‘Al’ ini disebabkan nahu Arab seperti perkataan the dalam bahasa Inggeris. Abdullah adalah kata nama khas..
“… itu yang dipersetujui Tuanku (cara sebutannya) supaya nahu dalam bahasa Arab juga tepat,” katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Al-Sultan Abdullah yang dimasyhurkan Selasa lalu, merupakan Sultan Pahang keenam mengambil alih takhta pemerintahan daripada Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah ekoran keadaan kesihatan baginda yang gering.
Istiadat pemasyhuran berlangsung di Balairung Seri Istana Abu Bakar di Pekan, tiga hari selepas Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah mengumumkan pelantikan itu yang dibuat mengikut Perkara 9A Bahagian 1 Undang-undang Tubuh Negeri Pahang.
Abdul Rahman berkata, nama Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bermaksud ‘Sultan Abdullah Pembela Agama Yang Terpilih Oleh Allah’ adalah pemilihan baginda sendiri.
“Saya hanya diminta untuk mengesahkan adakah maksudnya tepat… saya melihat nama itu merupakan sebahagian daripada nama ayahanda iaitu Shah manakala Ri’ayatuddin adalah nama nenda baginda,” katanya. – BERNAMA










