BN perlu telus jika ada kerjasama dengan Pas - Anthony Loke

BN perlu telus jika ada kerjasama dengan Pas – Anthony Loke

ANTHONY Loke Siew Fook (dua dari kiri) bersama tiga calon muka baharu dari parti itu, iaitu Lee Kai Yet (kanan), Mugunthan (kiri) dan Ho Weng Wah (dua dari kanan) semasa Majlis Pelancaran Bilik Gerakan PH DUN Temiang di Seremban, hari ini. UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Barisan Nasional (BN) perlu menyatakan pendirian mereka secara terbuka sekiranya terdapat hasrat untuk bekerjasama dengan Pas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerjasama antara mana-mana parti politik merupakan hak masing-masing namun ia perlu dilakukan secara telus tanpa berselindung daripada rakyat.

Menurutnya, perkara itu penting memandangkan BN termasuk parti komponennya iti MCA dan MIC masih merupakan parti kerajaan di peringkat Persekutuan.

“Saya mahu bertanya pendirian parti-parti komponen BN, khususnya MCA dan MIC. Kalau mereka mahu bekerjasama dengan Pas, itu hak mereka, tetapi perlu berterus terang kepada rakyat.

“Dalam BN ada UMNO, MCA dan MIC. Jadi kalau BN mahu bekerjasama dengan Pas, MCA dan MIC mesti menyatakan pendirian mereka dengan jelas kepada rakyat.

“Jangan sembunyi, jangan sorok-sorok. Kalau itulah pilihan dan pendirian mereka, teruskanlah dan nyatakan secara terbuka,” katanya pada Majlis Pelancaran Bilik Gerakan PH DUN Temiang di sini hari ini.

Anthony Loke yang juga Pengerusi DAP Negeri Sembilan berkata, rakyat berhak mengetahui pendirian sebenar parti-parti yang ingin menjalinkan kerjasama politik sebelum membuat pilihan pada hari pengundian.

Katanya, pendirian Pakatan Harapan (PH) kekal jelas apabila gabungan itu hanya melibatkan PKR, Amanah dan DAP.

Sementara itu katanya, DAP Negeri Sembilan menampilkan tiga muka baharu mengekalkan lapan orang penyandang bagi mempertahankan 11 kerusi yang dimenangi parti itu sebelum ini.

Tiga calon baharu berkenaan ialah S. Mugunthan (Seremban Jaya), Lee Kai Yet (Mambau) dan Ho Weng Wah (Temiang).

“Kalau penyandang itu masih muda, mempunyai rekod perkhidmatan yang baik dan diterima di kawasan, sudah tentu kami kekalkan. Bukan semua perlu ditukar. Saya sendiri juga seorang penyandang.

“Setiap kali pilihan raya memang akan ada penilaian dan kami akan melihat potensi calon baharu. Namun, memandangkan PRN kali ini diadakan lebih awal daripada jangkaan, proses peremajaan parti tidak dapat dilaksanakan secara menyeluruh seperti yang dirancang,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN