JITRA: Seorang penganggur ditahan polis kerana disyaki membakar rumah milik ibunya di Kampung Sungai Baru, di sini semalam selepas dipercayai bergaduh dengan ahli keluarga.
Dalam kejadian pada pukul 3.15 petang itu, rumah dua tingkat yang tiada penghuni tersebut terbakar dan musnah kira-kira 80 peratus.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Mohd. Radzi Abdul Rahim berkata, suspek berusia 36 tahun dilihat memasuki rumah itu oleh sepupunya yang berniaga tidak jauh dari situ.
“Dalam masa kira-kira 30 minit, suspek dilihat keluar dari rumah itu sebelum sepupunya ternampak asap dari arah tingkap dekat ruang tamu. Sepupunya segera menghubungi pihak bomba bagi mendapatkan bantuan memadam kebakaran.
“Rumah berkenaan adalah milik ibu suspek berusia 60 tahun yang kini menetap di Pokok Sena. Siasatan awal percaya suspek bertindak membakar rumah itu selepas bergaduh dengan ahli keluarganya,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, semakan rekod mendapati suspek mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau iaitu kes ugutan jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
“Suspek juga mempunyai rekod kes dadah mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953,” jelasnya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat menggunakan api atau bahan letupan dengan niat memusnahkan atau merosakkan rumah. – UTUSAN










