Besar modal untuk AJL, menariklah persembahan dan lagunya - Ziana Zain - Utusan Malaysia

Besar modal untuk AJL, menariklah persembahan dan lagunya – Ziana Zain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ziana Zain menyifatkan finalis Anugerah Juara Lagu (AJL) yang sanggup mengeluarkan modal besar untuk persembahan di pentas berprestij itu sebagai satu usaha yang baik untuk membuatkan lagu mereka lebih menarik.

Ziana atau Siti Roziana Zain, 58, berkata, kesanggupan mengeluarkan wang ringgit itu membuktikan artis generasi baharu hari ini mempunyai kesungguhan yang tinggi untuk memastikan penampilan mereka nampak berkualiti di mata penonton.

Menurutnya, trend ini sangat berbeza dengan zamannya dahulu kerana penyanyi sekarang lebih berani mengeluarkan modal demi memastikan pakaian dan props pentas kelihatan lebih cantik.

“Kalau mahukan persembahan yang luar biasa, kamu perlu membayarnya sendiri. Namun, sekarang kita dapat melihat bahawa setiap artis mempunyai usaha yang sangat tinggi untuk memberikan yang terbaik.

“Kita juga dapat melihat artis itu sendiri yang keluarkan modal demi menjadikan persembahan mereka lebih cantik, baju lebih menarik serta susunan props yang lebih hebat.

”Itu adalah satu perkara yang agak berbeza dengan zaman kami dahulu yang mana penyanyi sekarang sanggup mengeluarkan duit untuk kelihatan bagus,” katanya.

Ziana berkongsi perkara berkenaan ketika ditemui semasa sidang media Muzik Lab: Hab Kreatif AJL40 di McDonald’s Pandu Lalu Pantai Sentral, Pantai Dalam, semalam.

Tambah Ziana, artis sekarang juga bertuah kerana pasaran hari ini membuka ruang untuk mereka mendapatkan tajaan daripada pelbagai pihak bagi merealisasikan konsep persembahan yang dimahukan.

“Bagaimanapun, perkara itu terpulang kepada bajet masing-masing. Namun sebenarnya, apabila kita melihat semula perkara itu, ia juga membantu pencalonan lagu tersebut menjadi lebih menarik.

“Mungkin bajet pada masa kini boleh diperoleh menerusi penajaan daripada pelbagai pihak di sana sini untuk mendapatkan persembahan yang bagus.

“Berbeza dengan zaman kami dahulu yang tidak mempunyai kemudahan sedemikian di mana jika konsepnya sekadar naik dan turun tangga, maka itulah sahaja persembahannya,” ujarnya.

Untuk rekod, Ziana Zain pernah melakar sejarah tersendiri apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan AJL sebanyak dua kali, iaitu menerusi lagu Korban Cinta pada AJL 1993 dan lagu Kemelut Di Muara Kasih pada AJL 1995.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN