Mahkamah Tinggi ketepi pampasan RM78.6j Sime Darby Property bagi projek WCE - Utusan Malaysia

Mahkamah Tinggi ketepi pampasan RM78.6j Sime Darby Property bagi projek WCE

SIME Darby Property.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sime Darby Property Berhad berkemungkinan kehilangan pampasan berjumlah RM78.6 juta selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam mengetepikan pampasan bagi pemisahan tanah dan kesan menjejaskan baki tanah yang sebelum ini diberikan susulan pengambilan tanah secara paksa bagi projek Lebuhraya Pantai Barat (WCE).

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat berkata, keputusan yang disampaikan pada 10 Julai lalu melibatkan Sime Darby Property (Klang) Sdn. Bhd. (SDP Klang), anak syarikat milik penuh syarikat dalam prosiding rujukan tanah berhubung pengambilan tujuh lot tanah seluas 504,101 meter persegi untuk projek WCE.

Syarikat berkata, Mahkamah Tinggi telah mengetepikan pampasan RM78.6 juta yang sebelum ini dianugerahkan bagi pemisahan tanah dan kesan menjejaskan baki tanah, namun alasan penghakiman bertulis masih belum dikeluarkan.

“Kes itu bermula apabila Pentadbir Tanah Daerah Klang pada 26 Jun 2015 menganugerahkan jumlah pampasan keseluruhan RM169.3 juta kepada SDP Klang, terdiri daripada RM90.7 juta bagi nilai pasaran tanah yang diambil dan RM78.6 juta bagi pampasan pemisahan tanah serta kesan menjejaskan baki tanah.

“Bagaimanapun, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membantah pampasan RM78.6 juta itu dan mengemukakan bantahan kepada Mahkamah Tinggi pada 6 Ogos 2015.

“Selepas melalui beberapa prosiding dan rayuan, kes tersebut dikembalikan ke Mahkamah Tinggi untuk perbicaraan semula yang berlangsung pada 10 dan 11 Mac lalu,” katanya.

Sime Darby Property berkata, mahkamah turut menetapkan 20 Julai ini bagi mendengar perkara-perkara berbangkit susulan keputusan itu, termasuk penentuan kos yang perlu dibayar.

Menurutnya, kesan kewangan daripada keputusan mahkamah itu masih sedang dinilai dengan mengambil kira perkara-perkara berbangkit yang belum diputuskan, termasuk sebarang jumlah yang mungkin perlu dibayar berdasarkan perintah susulan mahkamah.

“Pengumuman lanjut akan dibuat selepas semua perkara berbangkit diputuskan secara muktamad.

“Pada peringkat litigasi ini, keputusan berkenaan dijangka tidak memberi kesan operasi yang material kepada kumpulan, ujarnya.

Sime Darby Property berkata, pihaknya sedang menilai keputusan Mahkamah Tinggi itu dan akan membuat pengumuman lanjut mengikut keperluan di bawah Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad sekiranya terdapat sebarang perkembangan material berkaitan Perkara Rujukan Tanah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN