MELAKA – Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara empat tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah merompak beg tangan milik pelanggan wanita sebuah restoran pada bulan lalu.
Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman terhadap tertuduh, Fadhir Ismail, 40, yang membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati merompak beg tangan berjenama Sammao milik Lim Chin Chin, 43, kira-kira pukul 11.40 malam di kawasan sebuah restoran di Jalan Persisiran Bunga Raya Pantai, di sini pada 31 Disember 2018.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu hukuman ringan dikenakan terhadapnya, namun pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Mazuin Hashim memohon agar hukuman berat dikenakan agar dijadikan pengajaran kepada tertuduh.
Selepas mendengar hujah kedua-dua pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara empat tahun bermula semalam dan dua sebatan. – K! ONLINE










