Penembak pistol cari jurulatih - Utusan Malaysia

Penembak pistol cari jurulatih

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 28 Jan. – Persatuan Menembak Kebangsaan Malaysia (NSAM) perlu mencalonkan seorang lagi jurulatih import bagi penembak pistol negara dalam persediaan menghadapi Sukan SEA Ke-30 di Filipina, November ini.

Jurulatih baharu ini diperlukan ekoran peletakan jawatan penyandangnya, Lee Do Hee dari Korea Selatan pada bulan lalu manakala khidmat rakan senegaranya, Pak Sang Soon dikekalkan sebagai jurulatih rifle negara.

“Kami perlukan jurulatih asing sama ada dari Korea Selatan atau China kerana penembak kedua-dua negara itu sudah bertaraf dunia.

“Kami tidak fikir akan kembali mencari jurulatih negara Eropah walaupun mereka bagus kerana kosnya mahal dan perlu mengikut belanjawan yang ditetapkan oleh MSN (Majlis Sukan Negara).

“Jurulatih baharu ini mestilah mampu membantu melahirkan penembak pemenang pingat,” kata Setiausaha Kehormat NSAM, Adam Tee selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja di MSN, Bukit Jalil hari ini yang dipengerusikan Pengarah Bahagian Atlet MSN, Jefri Ngadirin.

Katanya, program persediaan skuad menembak ke arah Sukan SEA Filipina yang akan dimulakan Mac ini, melibatkan lapan atlet sepenuh masa dan 12 sambilan.

Mengenai Sukan SEA katanya, NSAM memutuskan untuk tidak menghantar atlet dalam acara yang dianggap pelik dan tidak dipertandingkan pada Sukan Olimpik seperti silhouette, bench rest dan precision.

“Di Filipina, kami hanya akan sertai acara skeet, trap, air pistol dan rifle manakala yang pelik-pelik itu, kami tiada penembak bahkan tiada senjatanya jadi kami tidak sertai,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN