SHAH ALAM 8 Jan. – Polis Selangor sedang mengesan empat individu yang merupakan saksi bagi membantu kes perbicaraan pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam.
Dua daripada saksi tersebut merupakan warga tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia diperlukan pihak pendakwaan bagi tujuan perbicaraan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, kesemua saksi itu gagal dikesan tetapi semakan dengan Jabatan Imigresen mendapati mereka berada dalam negara ini.
“Dua orang saksi warga tempatan yang diperlukan adalah Tham Yook Kun, 50, dan Ng Wah Hoong, 38. Dua warga Indonesia pula ialah Raisa Rinda Salma serta Dessy Meyrisinta masing-masing berusia 24 dan 33 tahun.
“Kesemua saksi ini diminta tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat, Asisten Supritenden Wan Azirul Nizam Che Wan di talian 019-4811844 untuk persiapan perbicaraan yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










