Ajinomoto Malaysia ketengahkan Gyoza gaya Jepun di MAHA 2026 - Utusan Malaysia

Ajinomoto Malaysia ketengahkan Gyoza gaya Jepun di MAHA 2026

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ajinomoto (Malaysia) Berhad (AMB) mendekati pengunjung menerusi pengalaman makanan, aktiviti interaktif dan promosi eksklusif di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 di Serdang, Selangor.

Penyertaan syarikat pada pameran yang berlangsung di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) itu menampilkan produk ‘Ajinomoto’ Gyoza sebagai tarikan utama bagi memberi peluang kepada orang ramai mencuba sajian tempatan berinspirasikan gaya Jepun.

Inisiatif berkenaan dirangka khas bagi memperkenalkan kepelbagaian perisa produk sedia ada di samping menggalakkan interaksi secara langsung bersama pengguna tempatan sepanjang sembilan hari pameran berlangsung.

AMB berkata, produk sejuk beku berkenaan menawarkan hidangan yang mudah, praktikal dan serba boleh untuk dinikmati pada bila-bila masa mengikut kesesuaian gaya hidup moden masa kini.

Keunikan utama ‘Ajinomoto’ Gyoza terletak pada kemudahannya untuk dimasak terus secara garing atau dikukus tanpa perlu melalui proses nyahbeku terlebih dahulu.

“Dengan inti yang berjus serta tekstur kulit yang rangup keemasan apabila dimasak, produk ini menyediakan pilihan hidangan mesra keluarga yang sesuai untuk sajian harian.

“Pengunjung bukan sahaja dapat menikmati sesi mencuba makanan secara percuma, malah boleh meneroka pelbagai cara penyediaan gyoza sama ada sebagai snek ringan mahupun hidangan sampingan,” katanya dalam kenyataan.

Bagi memeriahkan suasana di reruai, AMB turut menganjurkan aktiviti interaktif Spin & Win yang menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung yang mengambil bahagian.

Aktiviti sokongan tersebut memberi ruang tambahan kepada orang awam untuk mengenali kelebihan rangkaian produk keluaran AMB dengan lebih mendalam menerusi pendekatan yang menyenangkan.

Selain itu, AMB turut menawarkan promosi eksklusif sempena MAHA 2026, yang mana pembeli boleh mendapatkan dua pek ‘Ajinomoto’ Gyoza 200g bagi mana-mana pilihan perisa pada harga tawaran RM20.

Setiap pembelian promosi berkenaan layak menerima satu beg penyejuk percuma serta satu penyertaan bagi aktiviti cabutan Spin & Win sebagai nilai tambah kepada pengguna. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×