Peniaga dipenjara 30 tahun, 24 sebatan edar dadah lima tahun lalu

Peniaga dipenjara 30 tahun, 24 sebatan edar dadah lima tahun lalu

LIEW Wan Wah (tengah) dihukum penjara 30 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh, Perak hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 77 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, lima tahun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Seorang peniaga dihukum penjara 30 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 77 kilogram (kg) dadah jenis methamphetamine, lima tahun lalu. 

 

Hakim, Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap Liew Wan Wah, 46, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah pada akhir kes pembelaan.

 

Bagi pertuduhan pertama, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 30 tahun dan 12 sebatan, manakala bagi pertuduhan kedua, Wan Wah turut dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan.

 

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula dari tarikh tangkapan, manakala hukuman sebatan dikekalkan sebanyak 24 kali.

 

Mengikut pertuduhan pertama, Wan Wah didakwa mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 74,477.8 gram (74.48 kg) di Plaza Tol Gopeng arah masuk ke lebuh raya sebelum kaunter pembayaran tol, di Daerah Kampar pada pukul 7.30 malam, pada 23 Jun 2021.

 

Bagi pertuduhan kedua, dia dituduh mengedar dadah jenis sama seberat 3,267.0 gram (3.27 kg) di kawasan tempat letak kereta di bawah Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar pada pukul 2 pagi, 24 Jun 2021.

 

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum bawah Seksyen 39B(2) akta yang sama serta dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

 

Sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman gantung sehingga mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dihukum gantung, boleh dikenakan tidak kurang daripada 12 sebatan.

 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Yasinnisa Begam Seeni Mohideen manakala tertuduh diwakili peguam bela, P Ravee. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×