Pemandu lori langgar anggota polis serah diri - Utusan Malaysia

Pemandu lori langgar anggota polis serah diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN 28 Jan. – Pemandu lori yang terlibat dalam insiden langgar lari seorang anggota polis Cawangan Balai Pengawal Istana Negeri Sembilan di Jalan Besar berhampiran Taman Rose Merah dekat sini telah menyerah diri kepada polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Mohd. Nor Marzukee Besar berkata, lelaki berusia 61 tahun itu menyerah diri di Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai pada pukul 9 malam tadi.

“Dia telah dibawa menjalani ujian air kencing tetapi keputusannya negatif dadah. Dia turut dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar bagi ujian toksikologi darah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, lelaki itu telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas memberi keterangan dan lori yang dipandunya disita untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.10 tengah hari semalam, Muhamad Shafiq Ramlan, 26, yang menunggang motosikal jenis Honda Dash telah dilanggar sebuah lori ketika tiba di persimpangan dekat lokasi kejadian.

Mangsa yang masih bujang dalam perjalanan ke Kuala Pilah untuk bertugas di Balai Pengawal di Istana Besar Seri Menanti sebelum kemalangan itu berlaku.

Lori yang dipercayai membawa muatan batu meninggalkan mangsa sejurus kemalangan itu berlaku dan mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×