SHAH ALAM – Pihak peguam yang mewakili keluarga anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Muhammad Adib Mohd. Kassim percaya bahawa kematian Allahyarham Muhammad Adib adalah akibat daripada dipukul.
Namun begitu, peguam tersebut, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab berkata, perkara itu tidak dapat diulas lebih lanjut kerana perlu menunggu dokumen yang diserahkan kepada mahkamah terlebih dahulu.
“Prosiding bagi mencari punca kematiam Muhammad Adib telah dimulakan oleh pihak pendakwaan.
“Bagi pihak kami pula, kami akan membantu mahkamah dengan membawa kira-kira 30 orang saksi,” katanya ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Shah Alam di sini hari ini.
Jelas Kamaruzaman lagi, tiada ahli keluarga Muhammad Adib hadir untuk mengikuti prosiding inkues yang berjalan hari ini.
“Mereka (ahli keluarga) yang tinggal di Kedah akan hadir pada hari perbicaraan inkues nanti,” jelasnya.
Dalam kejadian pada 27 November lalu, Muhammad Adib kritikal selepas didakwa dibelasah sekumpulan perusuh ketika tiba di kawasan kuil Sri Maha Mariamman, Seafields, Subang Jaya bagi memadamkan satu kebakaran kereta.
Selepas 21 hari dirawat, Muhammad Adib meninggal dunia 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur akibat kecederaan dalaman dialaminya. – K! ONLINE










