MELBOURNE 17 Jan. – Bintang remaja Jepun, Naomi Osaka mara ke pusingan ketiga kejohanan tenis Terbuka Australia, hari ini, dalam usahanya memburu gelaran Grand Slam kedua, namun, situasi berbeza menimpa rakan senegaranya, Kei Nishikori yang bergelut sebelum melakar kemenangan epik lima set.
Dalam satu lagi pertarungan titanic, pemain Kanada, Milos Raonic menyingkirkan juara 2014, Stan Wawrinka dalam aksi sengit empat set yang kesemua diheret sehingga ke tie break.
Juara Terbuka Amerika Syarikat dan pilihan keempat kejohanan, Osaka menumpaskan wakil Slovenia, Tamara Zidansek 6-2, 6-4 dalam gelanggang yang ditutup bumbungnya di Margaret Court Arena selepas hujan turun mengganggu pertemuan itu.
“Saya fikir saya berjaya melakukan servis dengan baik, ini kali pertama saya bermain dengan-nya dan saya gembira memenangi perlawanan ini,” kata Osaka yang bakal menghitung pertemuan dengan pemain Taiwan, Hsieh Su-wei pada pusingan seterusnya.
Dalam aksi membabitkan pemain lelaki utama Asia, Nishikori dipaksa beraksi selama tiga jam 48 minit sebelum berjaya menewaskan Ivo Karlovic dari Croatia, 6-3, 7-6 (8/6), 5-7, 5-7, 7-6 (10/7) dalam cuaca panas dan lembap.
“Perlawanan ini sangat sukar. Dia hampir menewaskan saya,” kata pilihan kelapan itu yang berjaya ke suku akhir sebanyak tiga kali di Melbourne Park.
Dalam aksi di Rod Laver Arena pula, pilihan ke-16, Raonic menundukkan Wawrinka pemenang tiga kali Grand Slam yang baharu kembali ke gelanggang selepas pulih daripada kecederaan 6-7 (4/7), 7-6 (8/6), 7-6 (13/11), 7-6 (7/5).
Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan membabitkan pemain wanita iaitu pilihan keenam, Elina Svitolina mempamerkan persembahan meyakinkan sebelum mengalahkan Viktoria Kuzmova 6-4, 6-1, manakala Karolina Pliskova bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mencipta kemenangan ke atas Madison Brengle 4-6, 6-1, 6-0. – AFP










