PASIR PUTEH 18 Jan. – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan merampas dua bot dan menahan sembilan nelayan asing Vietnam yang menceroboh perairan negara dan menangkap gamat di 80.6 kilometer dari Kuala Tok Bali, dekat sini, semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, dalam Op Damai Maritim Malaysia pada pukul 8 pagi itu, kedua-dua bot nelayan asing cuba melarikan diri namun berjaya dipintas dalam masa 30 minit.
Menurutnya, kedua-dua bot berkenaan disita bersama hasil gamat dan peralatan menangguk gamar yang kesemuanya dianggarkan bernilai RM600,000.

“Bot mereka ditunda masuk ke jeti Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali walaupun keadaan angin kencang dan laut bergelora,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.
Ismail berkata, kesemua nelayan asing berkenaan didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri dan direman bagi siasatan lanjut selama 14 hari mulai hari ini.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta bagi pemilik atau tekong manakala tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun bagi awak-awak jika disabitkan kesalahan. – UTUSAN ONLINE










