PASIR PUTEH – Maritim Malaysia (APMM) Kelantan merampas dua buah bot dan menahan sembilan nelayan asing Vietnam yang menceroboh dan menangkap hasil laut di lokasi 80.6 kilometer dari Kuala Tok Bali, di sini semalam.
Timbalan Pengarah (Operasi) Maritim Malaysia Kelantan, Komander Maritim Ismail Hamzah berkata, dalam kejadian pada pukul 8 pagi kedua-dua bot nelayan asing itu bertindak melarikan diri namun berjaya ditahan 30 minit kemudian selepas dikejar pihaknya.
Menurutnya, hasil rondaan menerusi Ops Damai Maritim Malaysia merampas sejumlah gamat dari salah sebuah bot dan menyita kesemua bot bersama alat tangguk gamat bernilai RM600,000.
“Pemeriksaan ke atas bot pertama berjaya menahan tujuh nelayan asing manakala dua lagi dalam bot kedua. Kesemuanya tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
“Bot dan nelayan terbabit ditunda masuk ke jeti Pangkalan Operasi Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali walaupun keadaan angin kencang dan laut bergelora,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Ismail berkata, nelayan terbabit sudah dibawa ke mahkamah dan mendapat kebenaran tahanan reman bagi siasatan lanjut selama 14 hari mulai hari ini.
” Gamat yang dicuri itu dipercayai akan diseludup keluar dan dipasarkan di negara Indocina serta Jepun dengan harga pasaran lebih tinggi.
” Harga pasaran gamat tempatan mencecah sehingga RM18 sekilogram dan ia lebih mahal sekiranya diproses kering untuk industri perubatan dan kosmetik,” katanya.
Nelayan terbabit disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM1 juta bagi pemilik atau tekong manakala tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun bagi awak-awak jika disabitkan kesalahan. – K! ONLINE










