KUALA LUMPUR 1 Jan. – Tunku Ismail Sultan Ibrahim menegaskan, beliau tidak gentar dengan keputusan Persatuan Bola Sepak (KFA) mahu mengheret kes perpindahan Akhyar Rashid ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Tegas pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, Harimau Selatan bertindak mengikut undang-undang dan Kedah sepatutnya menyalahkan diri sendiri apabila Akhyar memilih untuk meninggalkan Lang Merah.
Katanya lagi, jika bukan JDT sekali pun, mana-mana pasukan boleh mendapatkan Penyerang Terbaik Kebangsaan 2018 itu, malah katanya, pemain juga berhak menentukan masa depan mereka selagi mengikut segala peraturan termasuk menebus baki kontrak dengan majikan lama.
“Terdapat klausa dalam peraturan bola sepak yang menyatakan bahawa seorang pemain boleh meninggalkan pasukan pada akhir musim sekiranya beliau inginkan, dengan mengikut prosedur tertentu.
“Apabila terdapat laporan bahawa Akhyar Rashid sedang berusaha untuk menamatkan kontraknya dengan Kedah dan sedang menunggu keputusan FAM selepas Kedah tidak mengendahkan permintaannya untuk membincangkan perkara tersebut, kami menyatakan bahawa kami hanya akan mendekati Akhyar apabila beliau telah meninggalkan kelab tersebut dan merupakan ejen bebas.
“Jadi, apakah kesilapan JDT untuk menandatangani Akhyar selepas ada pengumuman oleh FAM bahawa beliau dibenarkan menjadi ejen bebas?
“Jika hari ini Safawi Rasid datang kepada saya dan mengatakan beliau mahu menebus kontraknya dan meninggalkan kelab ini, saya akan terima dengan hati yang terbuka.
“Saya tidak boleh kecewa dengannya atau pasukan yang hendak mendapatkan pemain tersebut. Kenapa? Kerana ini bermakna kelab tidak menjaga pemain tersebut dengan baik sehingga mendorong pemain tersebut untuk berhijrah.
“Saya hanya boleh menyalahkan diri sendiri dan kelab ini kerana tidak dapat menjaga pemain dengan baik. Saya akan melihatnya sebagai satu kegagalan kami kerana mungkin kami ada melakukan kesilapan. Sekarang, Kedah menyalahkan orang lain.
“Pertama, anda tidak faham peraturan. Kedua, anda menyalahkan orang lain untuk kelemahan anda sendiri.
Jika Kedah merasakan bahawa mereka mahu membawa Akhyar atau Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) atau FIFA, teruskan,” katanya dalam Facebook JOHOR Southern Tigers. – UTUSAN ONLINE










