KUALA LUMPUR 28 Jan. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara sinis menyindir Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berhubung kenyataannya sebelum ini berhubung kontrak dengan China Communication Construction Company Ltd (CCCC) bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Menerusi hantaran dalam akaun Facebook miliknya, Najib berkongsi sekeping surat pembatalan ECRL dan mempersoalkan tandatangan Guan Eng di surat bertarikh 18 Januari tahun ini.
“Tak payah menteri-menteri Pakatan Harapan (PH) termasuk Menteri Kewayangan berpusing-pusing.
“Sekejap kata dah batal, sekejap kata belum batal. Sekejap kata tak pasti sudah batal atau tidak,” tulis beliau.
Tambah Najib, Guan Eng sepatutnya mengakui sekiranya projek tersebut dibatalkan secara rasmi.
Sebelum ini Guan Eng memberitahu, beliau terkejut dengan kenyataan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pembatalan projek ECRL yang diterajui CCCC.
Namun semalam, Guan Eng berkata, kenyataan rasmi mengenai status kontrak antara kerajaan dengan CCCC bagi projek ECRL hanya akan dibuat secara bertulis minggu depan memandangkan membabitkan sebuah projek mega selain seperti diputuskan Kabinet sebelum ini. – UTUSAN ONLINE










